Setelah lama tidak berjumpa , saya amat teruja apabila menerima jemputan kenduri dari Siti. Kami anak-beranak pun bertolak selepas sarapan pagi (in our new viva) ke Muar semalam.
Saya dan Siti sahabat lama, dari zaman saya bersama Nasaruddin lagi. Kami berjumpa pertama kali di takleem jemaah tabligh 26 tahun dahulu. Pada masa itu kami berdua ibu muda anak seorang. Saya berkelekkan Hajar dan Siti berkelekkan Zahidin yang sebaya, lahir pada bulan yang sama. Kemudian di takdirkan Siti berpindah ke rumah di hadapan rumah saya, dan kami menjadi jiran rapat untuk beberapa tahun. Anak-anak kami yang lain lahir lebih kurang pada tahun-tahun yang sama. Masing-masing 3 orang anak.
Selepas saya bercerai dan berpindah ke Kuala Lumpur, maka terpisah lah kami, tetapi tak terpisah terus, lama-lama sekali kami berjumpa atau berhubung.
Siti adalah sumber inspirasi terdekat buat saya. Bukan sebab saya hendak mengandam, minat saya bukan di situ, diri sendiri pun tak terandam. Tetapi kerana Siti anak kampung yang mempunyai kreativiti dan cita-cita. Lebih baik lah dari anak bandar seperti saya yang tidak dapat cari jalan keluar. Siti di anugerahkan rupa yang menawan dan sifat-sifat yang menarik, juga kecekapan. Siti lah yang mula menjahit cadar dari tiada apa-apa selain sebuah mesin jahit usang, gunting dan jarum peniti. Dari situ, dia telah menjual berdozen-dozen cadar. Apa-apa yang di laksanakan Siti, dia buat dengan bersahaja, berbekal senyuman yang tak pernah lekang dibibirnya, tengok-tengok, Wow! semuanya menjadi. No sweat!
Lumrah seorang wanita cantik yang cintakan kecantikan, lambat laung cinta ini tersalur jua kearah andaman. Siti mula kecil-kecilan dalam bidang mengandam dan hiasan bunga sehingga terhasil lah kedai andamannya sendiri yang telah menempa nama di Muar. Andaman Kesuma, nama pun sudah indah. Bertambah kagum lah saya terhadap kawan saya seorang ini. Memang terbukti lah cita-cita yang selalu kami ngomong-ngomongkan ketika kami berjumpa itu bukan sekadar angan-angan. She can really do it.
Dari perkahwinan Zahidin dan Farah, saya dapat lihat sendiri hasil kerja dan usaha Siti dalam bidang yang di cintainya ini. Saya berbangga dengan kejayaannya dan mendoakan Allah sentiasa mengurniakan Siti sekeluarga kejayaan dunia dan akhirat. Amin. Dan kepada Yin dan Isteri, semoga kalian berbahagia hingga ke anak cucu. Amin
No comments:
Post a Comment