Kepada Andrea yang tidak mengenali ku
Kalaulah kamu membaca warkah ini, buat mu, dari seorang insan yang mempunyai hati untuk menulis, walaupun bakat tidak seberapa. Tidak seperti kamu. Tidak ape ya, biarkan saja aku berangan bersama anak-anak ku, kerana kau kan percaya pada mimpi. (impian, bukan mimpi tidur)
Aku amat meminati buku-buku mu. Buku-buku mu menyentuh samudra hati ku, yang dalam dan yang cetek, sehinggakan apabila ku membacanya, ada ketika airmata ku mengalir dan ada kala aku ketawa sendirian, senyum sendirian, sehinggakan aku terpanggil untuk menulis coretan ini.
Dari cerita-cerita kamu, kamu telah memberi aku signal-signal penting. Bagaimana jadi begitu ya, sedangkan ia hanya sebuah buku dan aku seorang insan yang tidak berhubung langsung dengan mu. Agaknya itu lah rahsia tentang keikhlasan dalam penulisan yang datang dari hati, sehingga ia mampu mengetuk pintu hati orang lain.
Bila kau menceritakan tentang ayah mu amat kamu kasihi, aku amat faham bagaimana kasih ayah mu itu telah menghangatkan hati mu dan mencengkam hati mu dengan kasihnya walaupun beliau jarang berkata-kata. Kerana buat ku, kasih sayang itu bukan ungkapan kata-kata, tetapi perbuatan. Banyak ibu-bapa yang mencurah anak-anak dengan ungkapan yang kosong, hanya di bibir, sekadar untuk menggantikan diri mereka yang tidak punya masa buat anak mereka. Kau sungguh beruntung, Andrea.
Bila kau ceritakan tentang ibu-bapa mu, aku dapat menangkap bahawa kau dari satu keluarga yang utuh, walaupun miskin. Apa gunanya kekayaan sekiranya rumahtangga porak peranda.
Kau berkerja keras dari kecil sehingga kau dapat membiayai pengajian mu. Segala usaha mu membanting tulang, memerah keringat telah di makbulkan Allah untuk kamu mencapai cita-cita mu sehingga kau berjaya hari ini. Sebab itu, rezeki yang paling baik adalah rezeki yang di dapati dari tulang empat kerat, dari titik peluh kita yang di berkati Allah. Dari usaha yang murni akan hasilkan sikap-sikap yang murni jua.
Kadang-kadang duit pemberian yang banyak datang dengan syarat-syarat yang banyak. Apa rasanya untuk berjaya dengan hasil sendiri, bebas merdeka.
Kamu ada kampung halaman yang telah memberi kamu satu definasi. Kalau lah kau tahu orang-orang yang tidak rasa dia sebahagian dari mana-mana tempat. Mencari dan mencari, entah apa. Alangkah harunya. Adakah ia salah satu dari 44 kegilaan yang kau tulis itu?
Kami yang mahu menulis sedang merangkak, kau sudah terbang di angkasa, kerana kau menjejak mimpi mu. Ada insan, tangan di ikat di langit , kaki di pasak ke bumi, tidak mampu bergerak jauh. Aku hanya menulis dari jendela ku.
Hanya aku doakan kamu jangan lepaskan hukum-hukum Allah, sebagai paksi hidup, kerana ramai penulis yang sesat kerana terlalu tinggi terbang menjulang. Aku sebagai peminat setia mu mendoakan kamu sentiasa di perlihara Allah swt dan dalam hidup ini dan terima kasih kerana telah meleraikan banyak simpulan-simpulan hati ku apabila aku menjumpai banyak signal-signal dari buku mu dari apa yang kamu dapati ketika kamu mengejar mimpi-mimpi mu.
Aku juga telah menukar nama ku sebanyak 3 kali.
Peminat mu, Noris Rashidah Nor Izzah.
No comments:
Post a Comment