Post saya kali ini dimulakan dengan perasaan yang bercampur baur. Terlampau banyak perasaan yang tercetus oleh topik ini. Ia mengisahkan seorang wanita istimewa iaitu, arwah ibu saya, Mummy. Ini ialah 'the story of my life', kiranya seperti 'the main story' dalam kehidupan seorang insan kerdil seperti saya. Tunggu ye....saya nak kumpulkan kekuatan hati sekejap dan baca Bismillahirahmanirohim, semoga Allah memberkati post ini dan saya tidak menyalahi sedikitpun dalam karya saya.
Saya dianugerahkan Allah sebuah family life yang 'out of the norm'. Jadi cerita saya ini bukanlah kisah keluarga bahagia atau ibu penyayang atau anak yang soleh, tetapi kisah istimewa diantara berjuta kisah di dunia ini.
Untuk menggambarkan Mummy, cukup saya ibaratkan dia sekuntum bunga mawar. Bukan sebab dia cantik jelita yang sinonim dengan bunga tersebut, walaupun dia ada rupa, tetapi sebab Mummy mempunyai duri. Tetapi disebalik durinya, dia masih dalam kategori bunga mawar (the most beautiful flower) kerana dia tetap harum semerbak bagi semua yang mengenalinya.
Duri-duri macam mana? Begini. Susah untuk mengembirakan hatinya. Susah nak puaskan hatinya. Susah hendak menerima kelemahan orang. Susah hendak tunjukkan kasih sayang. Sangat serious. Tersangat tegas. Tidak mudah untuk menukar pendapatnya atau prinsipnya atau pandangannya terhadap seseorang atau sesuatu.
Walaubagaimanapun, kesan duri-duri ini hilang apabila mawar menebarkan harumannya. Mummy pencari ilmu yang sejati. Pejuang agama yang jitu. Semangatnya ke arah itu sungguh kuat dan di satu persimpangan hidupnya, dia telah memilih jalan menuju ke syurga ini.
Hidup Mummy diwaktu kecil perit. Ibu bapa nya bercerai dan dia tinggal bersama nenek nya, arwah Mok saya yang tentangnya saya ceritakan di post saya yang dahulu. Trauma anak yang telah terpisah ibubapanya tetap dirasai tak kira zaman mana kita hidup. Badai yang di lalui adalah kisah klasik anak yang ditinggalkan.
Dulu sering saya mempersoalkan mengapa saya lahir untuk Mummy, sedangkan Mummy mahukan anak yang lebih baik dari saya. Terlampau banyak saat-saat dan ketika apabila situasi kami amat meruncing, lama juga saya menanya Allah, kenapa?
Mummy anak Kelantan yang lahir dalam serba susah kerana dia hidup bersama nenek yang tidak berharta. Zaman muda nya di tekan kesusahan dan keperitan serta kehinaan. Ketandusan ikatan kekeluargaan juga mungkin menjadikan Mummy susah untuk mesra dengan sesiapa.
Caturan hidup Mummy menggerakkan Mummy ke tempat yang luarbiasa apabila dia berjumpa dengan ayah saya yang datangnya dari tempat yang 'amat jauh' darinya. Bayang kan kehidupannya yang amat sempit itu bertembung dengan seseorang dari carahidup yang 'totally' berbeza dengan apa yang di lalui selama 20 tahun.
Seolah-olah Allah hendak gantikan apa yang Mummy tidak punya dengan apa yang ayah dapat berikan. Di satu ketika semuanya di dalam genggaman Mummy. Kekayaan, pangkat, keselesaan, cinta dan semua yang boleh di beli. Saya sangat akur kepada kebenaran duit tidak boleh membeli kebahagiaan. Kerana dalam keluarga saya, memang duit itu tidak dapat menguatkan kami. Retaknya menjalar menunggu saat sahaja.
Ikutan saya dalam pergerakan dakwah telah menjadi 'trigger' yang membantu Mummy kenalpasti sesuatu yang sangat penting dalam jiwanya yang telah terkambus oleh semua yang telah berlaku ke atasnya. AGAMA.
Setelah Mummy berjumpa dengan kasihnya yang satu ini, yang telah sekian lama hilang, maka....there is no turning back.
Mummy kuat ketika saya lemah. Mummy berjuang ketika saya memerlukan nya. Mummy terus mencari dan menggali ilmu dan setelah dijumpainya berlian, semua
disekelilingnya tidak sempurna lagi.
Silap saya kerana saya menuntut Mummy memahami saya, sedangkan sepatutnya saya yang memahami Mummy.....Bebal saya tak give up mendambakan seorang ibu versi saya, sedangkan Mummy semakin jauh untuk mendekati Allah.
Mummy tak pernah belai saya, cium saya atau peluk saya. Dan dia telah meletakkan satu standard yang cukup tinggi untuk kami semua. Saya tak pernah mencapai standard itu dari saya kecil sehinggalah dia meninggalkan kami. Saya telah cuba.
Tetapi apabila saya lemah, apabila saya tewas, apabila saya rebah, saya tidak terlampau gusar, kerana saya tahu didalam diri saya mengalir darah seorang pejuang, seorang yang memberi setiap detik hatinya untuk mencari cahaya Ilahi dan akhirnya mendapat kejayaan yang hakiki. Seorang yang tidak pernah give up dalam hidup nya.
Untuk ibu-ibu semua, Mummy mengajar saya, tempat ibu di atas, dan tempat anak dibawah. Walaupun agak keras, sebenarnya disitulah kebenaran. Jangan biarkan anak memperlakukan yang sebaliknya terhadap seorang yang dinamakan ibu.