Mokcik Moh telah kembali ke rahmatullah pada hari Ahad 30 October yang lalu. Oleh sebab aku di beritahu 3 hari selepas pergi nya beliau, membuat ku masih lagi terdengar-dengar suaranya yang lembut, tawanya yang comel dan wajah nya yang manis di ulang tayang dalam kepala ku entah berapa kali sehari. Mungkin jika aku dapat menatap jenazah beliau dan memberi kucupan yang terakhir.....
Maka padam lah sebuah lampu yang menerangi hidup ku, itu sahaja lah yang dapat ku rungkaikan dari segala perasaan yang aku rasai ketika ini. Terkilan tidak di beritahu. Menyesal kerana tidak berjumpa dengan nya ketika dia datang ke sini. Menyoal kenapa dia pergi tiba-tiba tanpa di duga langsung. Hati ku masih lagi meraba-raba satu kepastian, apakah yang sepatutnya.
Mokcik Moh atau nama sebenarnya Hasmah binti Jaafar, ialah mak saudara sepupu ku. Seorang insan yang cukup istimewa, kerana beliau sangat sederhana. Tetapi dalam kesederhanaann itu, terbit satu jiwa yang cukup menyenangkan. Yang tiada tandingnya. Tak pernah ku dengar sesuatu yang kasar keluar dari mulutnya, paling pun, dia akan diam. Bila beliau bersuara, dia hanya perkatakan yang baik, biasanya di sulami jenaka dan tawa.Yang pasti, yang tak baik, tidak di sebut atau pun di sebut dengan cara yang baik. Yang memahami, akan tahu bahawa dia tidak setuju apabila dia diam.
Aku mengenal beliau sejak kecil, kerana arwah ibu rapat dengannya. Aku cukup bangga memilikinya dalam hidup ku.
Ketika beliau susah pada zaman dahulu kala, di harunginya dengan sabar dan senyuman. Apabila dia senang, di hiasi dengan murah hati dan senyuman. Pendek kata, sifat-sifat tersebut sudah sinonim dengan beliau, dan saya pasti, amat sedikit atau pun tiada langsung orang yang akan mengatakan sesuatu yang tidak baik tentang beliau setelah beliau menghembus nafas yang terakhir.
Aku bukan menulis hanya sekadar hendak update blog ku. Aku ingin kongsi di sini tentang seorang insan yang mempercayai pentingnya menjadi seorang yang baik, seorang isteri dan ibu yang baik dan telah mempraktikkan kebaikan itu seluruh hidupnya. Sungguh mengkagumkan. Tak mudah, kerana kita manusia kadang-kadang hilang pertimbangan dan kesabaran dan akan bertindak kasar dan tidak pantas terhadap orang lain. Kalau lazimnya, seperti orang lain, beliau punyai kelemahan, tidak ketara buat ku ataupun telah di lupuskan oleh kebaikannnya.
Boleh kah aku diam ketika marah seperti nya? Bolehkan aku taat sepertinya? Bolehkan aku murah hati dan berhemah seperti nya? Bolehkan aku rendah diri sepertinya?
Hatiku masih mengapai-ngapai kehilangan ini. Dalam panggilan terakhir ku padanya, sempat kami sayang menyayang ketika aku memberitahunya bahawa aku menyayangi nya dan dia pun membalas yang sama. Masa tu baru selesai kenduri dan aku terlalu penat untuk pergi berjumpanya. Kalau lah aku tahu masa beliau dengan kami terlalu pendek, akan ku gagahi jua, walau letih mana sekali pun.
Kini dia sudah tiada, aku akan sematkan semua kenangan Mokcik Moh di khazanah hati ku, akan ku petik sifat-sifatnya dan tampal dalam sanubari ini, untuk mengingatkan ku bahawa benar lah Allah tidak memandang paras rupa tetapi memandang akhlak dan taqwa seorang hamba. Kerana hati dan budi yang baik itu adalah perhiasaan yang terindah.
Mokcik Moh.....
Semoga Allah cucuri rahmat di atas roh Mokcik Moh dan di golongkan di kalangan orang-orang yang solihin. Ameen.
No comments:
Post a Comment